SEARCH

Nenek maut ditikam depan rumah

08 May 2020 / 09:47 H.

PASIR PUTEH: Seorang wanita warga emas maut ditikam dipercayai akibat disamun di hadapan rumahnya di Kampung Tok Khamis di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Azmir Damiri berkata mangsa, Azizah Mohamed, 82, ditemukan menantunya dengan dua kesan tikaman di sebelah dada kiri kira-kira 6.10 petang.

“Mangsa dipercayai ditikam dengan objek tajam selepas rantai lehernya diragut,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Anis di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dikatakan berada bersendirian di hadapan rumahnya manakala seorang anak perempuannya yang kurang upaya (OKU) berada di dalam rumah.

Katanya polis percaya kejadian itu dilakukan oleh seorang lelaki atau lebih dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat. - Bernama

email blast