PUTRAJAYA: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau akan meneliti semua isu terutama isu mendesak di bawah kementeriannya satu persatu dan akan berusaha mengatasinya bagi memenuhi harapan rakyat.

Katanya, kementerian perlu meneliti dan menyelesaikan isu yang menjadi perhatian orang ramai yang dahulunya berada di bawah penyeliaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Portfolio ini perlu fokus kepada isu perubahan iklim, banjir, alam sekitar, tenaga dan sebagainya. Rakyat kini sudah benar-benar prihatin tentang perkara tersebut. Dulu orang cakap sahaja tanpa memahami impaknya, tetapi sekarang orang sudah memahami.

“Bagi saya sedikit masa untuk meneliti apa yang perlu dilakukan, sebelum kami adakan apa-apa pengumuman, kami akan teliti satu per satu isu-isu yang mendesak,“ katanya ketika memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya di Wisma Sumber Asli, di sini hari ini.

Beliau berkata fokusnya kini adalah untuk memastikan kementerian yang diterajuinya itu dapat bergerak ke hadapan termasuk menjayakan sektor tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

“Fokus kami sekarang adalah untuk bergerak ke hadapan, tetapi kami perlu mengimbanginya untuk menjadikannya saksama dan inklusif, ini bermakna apabila kami membuat peralihan, kami tidak boleh meninggalkan orang di belakang dan oleh itu kesejahteraan golongan B40 juga akan menjadi fokus kami,“ katanya.

Sementara itu, Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang yang turut memulakan tugasnya pagi ini teruja untuk menjalankan tanggungjawabnya dan menyifatkannya sebagai amanah amat berat kerana portfolio itu melibatkan masa depan negara.

Beliau yang disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Aminuddin Hassim selesai merakam waktu masuk pada 8.32 pagi.

“Banyak yang saya perlu belajar tentang perkara dalam kementerian ini, saya sangat teruja dan dalam masa yang sama saya turut berdebar,” katanya kepada pemberita.

Ditanya mengenai penjenamaan kementerian itu, Chang berkata perkara tersebut akan diputuskan di dalam mesyuarat khas jemaah menteri pertama kerajaan perpaduan yang akan diadakan pada hari ini.

Turut memulakan tugas secara rasmi ini ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan melakukan simbolik mengimbas kad perakam pada 8.52 pagi ini di Kementerian Pendidikan.

Fadhlina yang memakai baju kurung berwarna biru cair disambut Ketua Setiausaha Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin (rpt.Pkharuddin) Ghazali di lobi kementerian itu.

Nik Nazmi, Chang dan Fadhlina antara muka baharu yang pertama kali dilantik sebagai menteri untuk menganggotai barisan 28 ahli Jemaah Menteri diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image