SEREMBAN: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, seorang daripada lima pelajar yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Perak di Kampung Sungai Mahang, Nilai dekat sini malam tadi.

Noraini menerusi kenyataan hari ini berkata ziarah itu sebagai tanda keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap musibah berkenaan dan beliau turut menyampaikan ucapan takziah serta memberi kata-kata semangat kepada keluarga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu.

Beliau yang menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham turut meluangkan masa menyertai majlis tahlil.

“Selain itu, KPT dan agensinya telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Dr Mohd Zabri Yusoff, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar, Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Naib Canselor USAS Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Selain Muhammad Nabil Haikal, empat pelajar lain yang maut dalam kemalangan pada tengah malam Rabu lepas ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image