PUTRAJAYA: Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) akan diadakan setiap tahun kerana ia membantu meningkatkan pemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata NTW yang dianjurkan julung kalinya oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) tahun ini mencatatkan pencapaian memberangsangkan.

“Tahun depan NTW akan diteruskan, jadi program tahunan yang melibatkan ramai majikan, pekerja dan latihan-latihan ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kemuncak NTW 2023 2023 di sini hari ini.

NTW 2023 merupakan acara dan aktiviti latihan yang diadakan di seluruh negara selama seminggu bermula 22 Mei dengan menampilkan organisasi serta individu daripada pelbagai latar belakang dan industri untuk mengambil peluang membangunkan diri dengan meningkatkan kemahiran.

Program-program latihan di bawah NTW 2023 ditawarkan dan dianjurkan secara percuma.

Ahmad Zahid berkata latihan di peringkat NTW adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dalam kalangan tenaga kerja di negara ini.

Beliau turut meminta KSM dan HRD Corp untuk melaksanakan satu kaji selidik mengenai keperluan latihan bagi meningkatkan produktiviti pekerja.

Sementara itu Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar dalam ucapannya di majlis berkenaan berkata NTW 2033 merekodkan 21,052 kursus, melibatkan 103,823 penyertaan dan 404,312 jam latihan setakat semalam.

“Kejayaan NTW 2023 bukanlah penamat dan perlu digalakkan dengan lebih banyak program latihan dan kemahiran untuk rakyat Malaysia.

“NTW juga dapat menjadi inspirasi kepada sektor swasta dan industri dalam memperkenalkan kaedah pembangunan kemahiran yang lebih inovatif dan kreatif,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image