SEARCH

Operasi pengesanan kes aktif di Kota Samarahan dilanjutkan tiga hari

30 Apr 2020 / 22:13 H.

KUCHING: Operasi pengesanan kes aktif COVID-19 di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden, kedua-duanya di Kota Samarahan, melibatkan kira-kira 5,300 buah kediaman dilanjutkan sehingga Ahad ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata operasi tiga hari yang berakhir hari ini terpaksa dilanjutkan kerana hanya 20 peratus sahaja daripada jumlah sasaran di Taman Desa Ilmu yang berjaya disaring sehingga ini.

“Bilangan rumah yang dikunjungi bermula Rabu lalu adalah sebanyak 2,288 rumah manakala sebanyak 820 rumah terkunci. Bagi bilangan orang yang dipanggil untuk menjalani pemeriksaan adalah seramai 221 orang.

“Bilangan orang yang telah disaring adalah seramai 124 orang. Bilangan kenalan rapat yang telah diketahui belum disaring adalah seramai 97 orang. Pejabat Kesihatan Samarahan masih mengumpul semua sampel,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penghantaran pulang pelajar institut pengajian tinggi, beliau berkata bagi pelajar yang bergerak antara daerah dalam Sarawak dari zon merah dan kuning ke zon hijau, akan dipasangkan jalur pergelangan tangan dan diberikan notis duduk di rumah.

“Mereka akan diambil sampel pada hari ketujuh dan sekiranya keputusan adalah negatif, mereka akan terus kekal berada di rumah sehingga habis tempoh 14 hari,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata bagi memastikan pasukan barisan hadapan disediakan dengan kelengkapan yang diperlukan seperti alat perlindungan peribadi (PPE) semasa menjalankan tugas, kerajaan Sarawak telah menyumbang sejumlah RM10 juta untuk pembelian pelbagai peralatan.

“Kita juga telah menyediakan kemudahan tempat tinggal di hotel dan menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga telah membeli PPE bernilai RM7 juta yang akan sampai pada bulan depan,” tambahnya.’ - Bernama

Untitled Document

email blast