SEREMBAN: Paras air di tujuh empangan di Negeri Sembilan masih terkawal dan mampu bertahan sehingga April depan dengan jangkaan cuaca panas berterusan sehingga bulan tersebut.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail berkata walaupun Negeri Sembilan masih menerima hujan, tetapi peratusan taburannya belum tentu mampu meningkatkan paras air sungai dan empangan di negeri ini.

“SAINS akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan bekalan air di Negeri Sembilan terkawal. Sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, SAINS seperti biasa telah mengaturkan pelan tindakan kontigensi pada 24 Januari sehingga 28 Januari ini bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air sekiranya berlaku dalam tempoh lima hari perayaan tersebut,“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna agar belajar berhemah menggunakan air, dengan mengitar semula air tadahan cucian bagi tujuan kedua seperti menyiram tanaman.

“Kaedah kedua, kurangkan penggunaan air terus dari meter pengguna untuk mencuci kereta atau rumah. Jadilah pengguna bijak dengan membuat tadahan air untuk mandi dan membasuh agar tidak perlu menggunakan air terus dari meter paip.

“Keadaan ini kemungkinan besar dipandang remeh dan dilihat tidak banyak membantu mengatasi masalah bekalan air pada masa ini, namun ia boleh menyedarkan kita tentang betapa pentingnya sumber air untuk kita fikirkan bersama-sama kaedah yang mudah bagi memulakan langkah penjimatan,“ katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image