KUALA LUMPUR: Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat kali ini akan dijawab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul sebelum sesi berkenaan pada hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

“Ini bermaksud Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan menjawab tiga soalan (Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri) dan ia bermula, pada hari ini.

“Sementara MQT pada setiap Khamis akan dijawab oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri. Pemakluman akan dibuat jika terdapat sebarang perubahan pada peraturan itu,“ katanya.

Terdahulu, Anwar dalam hantaran di Facebooknya berkata beliau akan menjawab soalan Ahli-Ahli Parlimen dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat buat pertama kali hari ini.

Sebelum ini, Johari berkata sesi PMQ memerlukan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum digazetkan sebagai sesi tetap sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, bagi meneruskan langkah pencegahan penularan COVID-19, Johari memaklumkan semua Ahli Parlimen digalak memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam dewan, selain aktiviti sanitasi dilaksanakan secara berkala.

Kelonggaran etika pemakaian yang diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat sebelum ini juga diteruskan iaitu membenarkan Ahli Parlimen hadir ke sidang Dewan Rakyat tanpa memakai tali leher serta pemakaian Batik Malaysia berlengan panjang pada setiap Khamis.

Johari turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan akta-akta yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 dan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

Akta-akta berkenaan ialah Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022, Akta Anti Gangguan Seksual 2022, Akta Kastam 2022 dan Akta Eksais (Pindaan) 2022.

Selain itu, Akta Zon Bebas (Pindaan) 2022, Akta Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022, Akta Levi Pelepasan (Pindaan) 2022, Akta Levi Kenderaan Barang-barang (Pindaan) 2022, Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022, Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022, Akta Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022 dan Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image