KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pelawak berasal dari Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekehkan Malaysia termasuk menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan dalam satu persembahan komediri di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini wajar dikecam.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta semua Ahli Parlimen bersama-sama mengutuk tindakan Chia yang disifatkan melampau dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

Rayer membangkitkan isu berkenaan di bawah Peraturan 36 (9) dan (10) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat berhubung perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati dan bermusuh-musuhan antara kaum.

“Walaupun perkara itu tidak berlaku dalam Dewan (Parlimen), tetapi memandangkan Dewan Rakyat sedang bersidang, saya berharap pihak-pihak di sebelah sana (pembangkang) juga akan menyokong perkara ini.

“Kita lihat satu video yang menular tentang seorang pelawak Jocelyn Chia memperlekehkan negara kita dan membuat sindiran dan lawak jenaka yang mengguris hati serta menyinggung perasaan, terutama berkenaan negara kita dan kehilangan pesawat MH370,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Rayer berkata walaupun Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon telah memohon maaf berikutan tindakan biadab Chia itu, namun beliau berharap perkara sama tidak berulang.

Semalam, tular video Chia ketika membuat persembahan comediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’, memperlekehkan tragedi kehilangan pesawat itu selain membuat kenyataan jelik tentang Malaysia dan tindakan itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

Susulan itu, kerajaan Singapura memohon maaf selain menegaskan kenyataan Chia itu tidak sama sekali mencerminkan pandangan Republik itu selain memaklumkan wanita itu bukan lagi warganegaranya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image