Pasukan Media Malaysia pertahankan Piala Causeway 2019

10 Sep 2019 / 17:04 H.

PETALING JAYA: Pasukan Media Malaysia mempertahankan Piala Causeway 2019 setelah berjaya mengikat Singapura 14 sama selepas menamatkan tiga pusingan di Kelab Golf Sentosa di Singapura hari ini.

Malaysia yang memulakan pusingan ketiga acara individu dengan kelebihan 8-6 hasil kemenangan dalam acara foursome dan fourballs pada hari Isnin semalam hanya memerlukan enam mata untuk mengekalkan takhta Piala Causeway.

Bagaimanapun permulaan goyah buat Pasukan Media Malaysia apabila tiga pemain utama, Mohd Suhaimi Daud (NST), Mohd Aminuddin Azman (Media Prima) dan Mahathir Mohd Sidi (Media Prima) tewas mengejut kepada lawan masing masing.

Walau bagaimanapun, Malaysia kembali mendahului dengan 11-8 apabila berjaya mencuri tiga mata penting menerusi kemenangan mudah Bayu Adhi Cahyono (Al Jazeera), Andrew Ng (Golf Malaysia) dan Roy Chandra (Fairway Mag).

Pertandingan itu menjadi getir di penghujung perlawan apabila pasukan Singapura berjaya menyamakan kedudukan 11 sama selepas pemain senior mereka, Tim Pinnegar berjaya mengatasi Ahmad Fadali Baharudin (Pristine Works) serta Thomas Leow menewaskan Brian Alexis (Fairway Mag) dengan mudah.

Pasukan Media Malaysia yang diketuai oleh Arep Kulal yang memerlukan tiga mata, menarik nafas lega seketika apabila Ismadi A. Manap (RTM) dan Imran Mohd Nor (Utusan) menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan lawan masing-masing.

Zaini Salihin (Media Prima) akhirnya memberikan mata paling berharga untuk kumpulan Malaysia apabila menewaskan pemain berpengalaman Singapura, Edward di lubang terakhir untuk mata ke 14 Malaysia.

Singapura bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 14 sama apabila perlawanan terakhir antara Alyson dan Rodney Chan (Golf Malaysia) yang berlarutan hingga ke lubang 18 menyaksikan pemain wanita Singapura itu menang untuk kedudukan akhir 14 sama.

Meskipun kedudukan seri, Pasukan Media Malaysia yang tampil selaku juara bertahan hasil kemenangan di Kelab Golf Glenmarie tahun lalu berjaya membawa pulang Piala Causeway menyeberangi tambak Johor.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada tahun 2020 dan kejohanan dijangka akan berlangsung di Ipoh, Perak.

email blast