ROMPIN: Kerajaan Pahang memberi peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembangunan fasa pertama Paya Laka di Kampung Sepayang di sini, untuk dijadikan destinasi pelancongan berasaskan sawah padi, dengan jangkaan siap pada tahun 2025.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan itu bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur, antaranya melibatkan kerja menaik taraf infrastruktur sedia ada, pembinaan bangunan pentadbiran dan kemudahan awam.

“Saya percaya Paya Laka akan menjadi satu lagi destinasi pelancongan di Pahang khususnya di daerah Rompin, serta mampu menarik ramai pelancong kerana masih tidak banyak destinasi pelancongan berasaskan sawah padi di negeri ini.

“Projek ini diharap mampu menjana pendapatan penduduk tempatan, melalui peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan seperti majlis keraian dan perkahwinan, demonstrasi menanam padi dan mengemping padi, memancing di sawah serta pelbagai lagi aktiviti yang menarik,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, Kampung Sepayang di sini hari ini.

Paya Laka merupakan kawasan sawah padi seluas 324 hektar yang diusahakan sejak tahun 1995 oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) melalui anak syarikatnya PKPP Agro Sdn Bhd, sesuai dijadikan lokasi pelancongan ekoran kedudukannya berdekatan kawasan pinggir pantai dan Taman Negeri Rompin.

Rancangan membangunkan projek agro pelancongan itu, menurut Wan Rosdy merupakan cetusan idea penyandang kerusi dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain dan bekas Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke daerah itu.

Pada majlis itu, Wan Rosdy juga mengumumkan PKPP menerusi anak syarikatnya juga telah mengkreditkan sumbangan bantuan khas berjumlah RM500 seorang kepada semua 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka, yang diharapkan dapat membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan pemberian bantuan bersasar kepada belia pada masa depan, bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu dalam suasana ekonomi mencabar.

Buat masa ini, Wan Rosdy berkata pihaknya sedang meneliti perkara yang berbangkit terutama dari aspek implikasi kewangan, sebelum inisiatif dana belia itu dapat diumumkan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image