BERLIN: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menggesa dunia untuk mengambil langkah “lonjakan kuantum” dalam tindakan untuk memerangi perubahan iklim.

Gesaan itu disuarakan beliau pada persidangan pendahuluan mesyuarat iklim COP28 yang dihoskan oleh Pejabat Luar Negeri Jerman pada Selasa.

“Kami tahu bahawa laluan 1.5 darjah boleh dicapai,“ kata Guterres kepada peserta Dialog Iklim Petersberg edisi ke-14 di Berlin menerusi mesej video.

Guterres berkata ini memerlukan negara maju dan institusi kewangan antarabangsa membuat bayaran yang telah lama tertunggak dan tidak lagi terlalu bergantung kepada bahan api fosil, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Antara matlamat dalam Perjanjian Iklim Paris ialah menghalang pemanasan global daripada melebihi 1.5 darjah Celsius.

Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, dalam ucapan pembukaannya, yakin negara-negara perindustrian akan menunaikan janji mereka untuk menyokong kewangan negara yang lebih miskin.

“Pada masa ini, kita berada pada laluan untuk mencapai angka US$100 bilion tahun ini,“ katanya, merujuk kepada jumlah tahunan yang dijanjikan oleh negara-negara kaya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image