PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia menyeru rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk mengambil peluang pertumbuhan perniagaan, sosial dan peribadi berikutan pelancaran Satelit Measat-3d pada 23 Jun yang lalu.

Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid berkata menjelang 2025, satelit itu akan dapat menyediakan liputan internet untuk semua kawasan berpenduduk.

“Ia juga akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar menjadi sebaik rangkaian gentian optik.

“Setelah beroperasi, penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga boleh menggunakan satelit untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus daripada populasi yang belum lagi mendapat sambungan jalur lebar gentian atau wayarles, seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

“Ini bermakna, tiada lagi alasan bagi mereka yang kini tinggal di kawasan yang tiada sambungan Internet untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan melalui infrastruktur ini,“ kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Zakaria, jika rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak mengambil peluang infrastruktur ketersambungan yang ada, kita akan kalah dalam perlumbaan global.

“Antara peluang yang boleh direbut melalui penyediaan infrastruktur seperti Measat-3d termasuk akses pasaran, peningkatan kemahiran, sumber pengetahuan dan pertumbuhan diri,“ tambah beliau.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image