KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sokongan beliau terhadap hak rakyat Palestin sentiasa dihargai.

Pengerusi PCOM, Muslim Imran dalam satu kenyataan berkata pertubuhan itu berharap dapat bekerjasama dengan Anwar bukan sahaja untuk membangunkan hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara tetapi juga usaha bersama demi keamanan dan persahabatan rakyat kedua-dua negara.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam memikul tanggungjawab dan cabaran baharu. Kami memuji kesediaan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan lebih cerah dan baik,“ kata Muslim.

Beliau berkata Anwar sentiasa menyokong rakyat Palestin dan menjadi sahabat baik Palestin dan perjalanan panjang serta kesukaran untuk berada di kedudukan ini memberi inspirasi kepada rakyat Palestin.

PCOM juga menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama pelbagai bidang antara Palestin dan Malaysia berdasarkan hubungan luar biasa, sokongan dan persaudaraan.

“Kami mendoakan (Anwar) dan rakyat Malaysia dikurniakan kesihatan, kejayaan, keamanan, kestabilan, kemajuan dan kemakmuran,” kata Muslim.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia pada Khamis. - Bernama