KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya mengeluarkan amaran berhubung kegiatan penculikan untuk penjualan organ, seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru berkata pihaknya hari ini mengesan mesej bertajuk ‘Amaran kepada semua ibu bapa dan penjaga, harga organ di Malaysia’ yang turut menyenaraikan harga organ seperti jantung, buah pinggang, mata, paru-paru dan hati.

Beliau berkata mesej itu mendakwa kononnya PDRM mengeluarkan amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati dengan dua kenderaan berwarna putih yang dikatakan terlibat dalam kegiatan penculikan manusia dan penjualan organ terutama kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.

“Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima khususnya melibatkan dua kenderaan seperti dalam mesej tular tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya dan terpengaruh serta tidak membuat perkongsian sebarang hantaran atau mesej di aplikasi media sosial tanpa menyemak kesahihannya.

Terdahulu tular di media sosial mesej kononnya amaran daripada PDRM mengenai kegiatan penculikan dan penjualan organ termasuk senarai kadar harga organ berharga antara RM10,000 hingga RM800,000. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image