KANGAR: Seorang pekebun sayur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak dan mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita.

Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap Som Phong Chem, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berumur 22 tahun itu, berhampiran Pam Air Kampung Kok Klang, Jalan Felda Chuping, Arau pada 5.30 petang 4 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong memohon hukuman berat dan sebatan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Som yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Ahmad memohon hukuman ringan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan dia juga menjaga ibu yang kurang sihat. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image