ALOR SETAR: Seorang pelajar madrasah dari Banting, Selangor dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tujuh rakannya di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9:55 pagi tadi.

“Menurut saksi, mangsa lelaki berusia 15 tahun itu sedang bermain air di kawasan berkenaan bersama tujuh rakan lelakinya berumur antara 15 dan 16 tahun, sebelum dikatakan tergelincir dan terjatuh ke dalam kawasan sungai di situ.

“Beberapa rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum saksi menghubungi bomba untuk memaklumkan mengenai kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamani berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi telah ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Anggota bomba telah melakukan pencarian permukaan di sekitar kawasan berkenaan, namun buat masa ini mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian masih diteruskan,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image