KUCHING: Pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri memperkukuh perwakilan Sarawak dalam kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata pelantikan itu juga adalah peristiwa bersejarah untuk rakyat bumi kenyalang itu.

“Berserta portfolio Fadillah sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, saya optimistik melihat perkembangan ini yang akan memberi faedah kepada penduduk Sarawak dan Sabah dan meletakkan kami pada kedudukan yang sama dengan negeri-negeri di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadillah ialah timbalan perdana menteri pertama daripada Sarawak dalam barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Fadillah, 60, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga bekas Ahli Parlimen Santubong turut berharap pelantikan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya akan memberi fokus sewajarnya kepada keseluruhan pembangunan di Sarawak dan Sabah.

“Berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung, kami sangat ketinggalan dari segi infrastruktur asas seperti perhubungan, sekolah, hospital, bekalan elektrik serta perkhidmatan telefon dan Internet.

“Lebih 50 peratus penduduk Borneo masih tinggal di kawasan pedalaman. Diharapkan dengan adanya Ahli Parlimen daripada Borneo mengetuai kementerian ini akan membawa pembangunan infrastruktur yang sangat diperlukan kepada Sabah dan Sarawak, seperti dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image