ISKANDAR PUTERI: Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan negeri setakat ini meskipun belum cukup 100 hari pentadbiran barisan Exco yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Mac lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) berkata beliau sedar dan insaf bahawa harapan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri Johor amatlah tinggi, terutamanya selepas Barisan Nasional mencapai kemenangan besar dalam PRN yang lalu.

“Atas kesedaran itu, kami telah berusaha sedaya mungkin untuk menggalas tanggungjawab ini dengan membantu dan menyelesaikan sebanyak mungkin isu rakyat yang termampu kami laksanakan,” kata beliau pada Mesyuarat Kedua Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Menjelang tempoh genap 100 hari pertama barisan Exco pada 3 Julai ini, beliau berkata pelbagai pencapaian telah dicapai dan inisiatif dilaksanakan oleh pentadbiran itu.

“Antaranya menyelesaikan isu penurapan jalan di perkarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), memperbaiki kerosakan jalan di Kempas Lama sepanjang 200 meter, kerja-kerja menurap semula jalan, pembersihan longkang dan parit di kawasan sekitar bandaraya Johor Bahru sepanjang 2.25 kilometer,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Selain itu, Menteri Besar berkata turut dapat diatasi ialah mengurangkan kesesakan di kaunter Imigresen di Setia Tropika dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Galleria serta pengecualian bayaran tol dan caj jalan sempena pembukaan sempadan Johor-Singapura.

“Dalam aspek ekonomi pula, kerajaan negeri telah membawa kemasukan pelaburan bernilai RM1.38 bilion GDS Holding Ltd, pelaburan bernilai RM876 juta dari Insulet Corporation dan pelaburan Paris Baguette Singapore bernilai RM130 juta,“ katanya.

Tambah Menteri Besar, kerajaan negeri akan terus merangka dan melaksanakan pelbagai bantuan yang lebih menyeluruh dan berkesan bagi membela nasib rakyat dan memberikan yang terbaik untuk Bangsa Johor.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) berhubung pencapaian yang diraih kerajaan negeri dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Selamat mengenai perancangan kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun, beliau berkata kerajaan negeri juga telah menggariskan enam teras utama dalam memacu pembangunan Johor ke arah pemodenan holistik menjelang tahun 2030.

Onn Hafiz berkata enam teras berkenaan adalah tadbir urus kerajaan; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan dan kebersihan alam sekitar dan orang muda Johor.

“Satu mekanisme juga akan diwujudkan bagi memastikan kesemua enam teras tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya bersesuaian dengan hala tuju pembangunan Johor yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa.

“Di bawah kepimpinan saya, ahli-ahli Exco juga sedang dan akan terus merangka polisi terbaik untuk rakyat Johor selain turut mempengerusi dan mewujudkan makmal-makmal bagi setiap perkara dengan fokus berkepentingan rakyat,“ tambah beliau.

Mengenai status Bantuan Kasih Bangsa Johor yang belum dilaksanakan setakat hari ini, Onn Hafiz berkata setakat hari ini, 25 inisiatif daripada 28 inisiatif telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan telah diagihkan bantuan kepada golongan yang disasarkan.

Hanya tiga inisiatif sahaja yang belum dilaksanakan untuk agihan iaitu Inisiatif Biasiswa Bangsa Johor, bantuan RM300 kepada pekerja ekonomi GIG dan bantuan raja sehari kepada orang muda Johor, kata beliau.

“Kesemua ketiga-tiga inisiatif ini sedang diberi perhatian dan kerajaan negeri akan memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang layak,” kata beliau. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image