KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi berpeluang mencipta sensasi di pentas tertinggi selepas mengesahkan penyertaan dalam acara 100 meter (m) dan 200m Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, bulan depan.

Muhammad Azeem yang telah melayakkan diri dalam acara 100m lebih awal sebelum ini, turut meraih tempat bagi acara 200m apabila melepasi had kelayakan selepas merakam catatan peribadi terbaik 20.89 saat (s) ketika memenangi pingat emas pada Kejohanan Remaja Sarawak baru-baru ini.

Ketua Jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil percaya dengan prestasi terkini, Muhammad Azeem yang mencatat masa peribadi terbaik 10.28s dalam 100m mampu berlari lebih pantas dalam kedua-dua acara disertainya di Cali.

“Peluang dia (di Cali) dengan pencapaian 10.28s (100m) dengan 20.89s (200m) sekurang-kurangnya dia boleh berada dalam kelompok 12 atau 16 terbaik. Jadi kalau Azeem dapat masuk ke final satu petanda baik bagi dirinya yang masih muda.

“Dia masih 18 tahun, masih bebas kecederaan dan dilatih jurulatihnya. Memang masih banyak ruang yang boleh dilakukan Azeem. Di Cali tidak mustahil dia boleh perbaiki catatan yang pernah dibuat sebab masih ada lebih kurang sebulan dari sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada kejohanan di Sarawak itu, catatan 20.89s dianggap masa kedua terpantas dalam sejarah 200m negara selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib, selain pencapaian dilakarnya itu membolehkan Muhammad Azeem mencatat rekod baharu remaja kebangsaan.

Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 6 Ogos ini turut mampu menjadi medan beliau mengubati kekecewaan di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas, selepas penyertaannya dalam 100m dibatalkan susulan ‘false start’.

Selain Muhammad Azeem, tiga lagi atlet remaja negara yang berpeluang memperagakan kehebatan di pentas dunia di Cali adalah atlet 110m lari berpagar lelaki Elvin Yap, Jonah Chang (lontar peluru lelaki) dan Muhammad Shah Sholihin dalam acara lompat kijang lelaki.

Mohd Manshahar berkata jumlah itu menyamai saiz skuad olahraga negara ke Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2016 di Bydogoszcz, Poland selepas tidak lagi penambahan atlet apabila tiada lagi kejohanan akan dianjurkan menjelang tarikh tutup kelayakan minggu depan.

Katanya penyertaan keempat-empat atlet remaja itu memberikan petanda positif selain dianggap sesuatu yang menarik untuk diikuti kerana potensi dimiliki mereka yang masih muda.

“Elvin melakukan 14.02s di Terbuka Johor...dengan fizikal dan ketinggian dia ada masa depan yang baik, sama juga dengan Jonah yang buat 19.40m di Jerman dan Muhammad Shah yang merupakan pendatang baharu dengan rekod lompatan sejauh 15.60m di Terbuka Pahang.

“Dalam acara lompat kijang, kita dapat lihat kita ada kesinambungan, daripada Muhammad Hakimi Ismail kita ada Andre Anura Anuar dan sekarang ada Muhammad Shah, jadi tiada kekurangan bakat di situ dalam jangka masa yang agak panjang,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image