SEARCH

Pemakaian pelitup muka kunci kawal penularan COVID-19

11 May 2020 / 17:29 H.

KUALA LUMPUR: Memakai pelitup muka di tempat awam merupakan cara kepada membantu pengawalan jangkitan Covid-19, kata Persatuan Thoracic Malaysia.

Oleh sebab itu persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, adalah penting setiap nasihat yang diberikan kerajaan kepada rakyat Malaysia termasuk mengenakan pelitup muka, perlu berdasarkan bukti saintifik, sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19 di samping menanam keyakinan rakyat.

“Bukti saintifik menunjukkan penggunaan pelitup muka berkesan dalam mengawal jangkitan awal. Inilah kunci inisiatif kesihatan awam, kerana sebilangan besar jangkitan Covid-19 berlaku pada fasa asimptomatik. Ia terbukti berkesan sama seperti amalan membasuh tangan sebagai langkah mengurangkan jangkitan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, bukti daripada negara lain menunjukkan strategi mengenakan pemakaian pelitup muka sebagai sebahagian daripada pendekatan pelonggaran seharusnya dinyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia, dan itulah jalan terbaik.

“Oleh itu, Persatuan Thoracic Malaysia ingin menegaskan kepada pembuat dasar dan orang ramai yang menggunakan pelitup muka di tempat awam merupakan kunci dalam membantu mengawal jangkitan Covid-19.

“Masyarakat seharusnya menggunakan sama ada pelitup muka buatan sendiri atau dibeli daripada kedai dan farmasi, kerana ia mampu membantu mengawal penularannya, selagi ia digunakan dengan betul,” menurut kenyataan tersebut. – Bernama

email blast