PASIR MAS: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua menggunakan pisau.

Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya Nik Salma Joni, 26, dan Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, di sebuah rumah dekat Kampung Cabang Empat, Tumpat dekat sini pada 5.30 petang, 21 Jun lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A dan Seksyen 326 kanun yang sama.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu disebut di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno yang kemudiannya menetapkan 5 Sept sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image