Pemandu pikap didakwa langgar penjaja pasar malam Bukit Sentosa

KUALA KUBU BHARU: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan penjaja pasar malam di pekan Bukit Sentosa, dua hari sebelum Aidilfitri, minggu lalu.

Tertuduh, Kang Ming Han, 32, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan cubaan membunuh dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis.

“Tidak mengaku salah,” kata lelaki memakai baju-T berkolar warna merah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Tertuduh didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap penjaja iaitu Norisham Abdul Rashid ,42, Mahadin Senan ,41, dan Baharum Ab Manaf ,61, dengan cara melanggar mangsa menggunakan kenderaan jenis pikap Toyota Hilux.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan, di tapak Pasar Malam Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada jam 6.35 petang, 22 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang anggota polis iaitu Shahidan Abdul Khalil ,32, di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin menawarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan kerana kes itu tular serta melibatkan rempuhan menyebabkan tiga mangsa cedera.

“Kejadian ini berlaku sebelum hari raya dan mangsa yang dirempuh cedera namun atas budi bicara mahkamah untuk menetapkan jumlah jaminan.

“Tertuduh juga sedang disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan polis,” katanya.

Peguam Muhammad Adhwa Azfar, yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Saya memohon jaminan dikurangkan iaitu RM3,000 terhadap semua pertuduhan,“ katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, tular di laman sosial yang memaparkan video berdurasi seminit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image