SEARCH

Pembayaran zakat: Majikan disaran laksana pemotongan gaji

04 May 2021 / 12:15 H.

KUALA LUMPUR: Majikan dan ketua organisasi disaran untuk melaksanakan pemotongan gaji pekerja beragama Islam, untuk pembayaran zakat.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-​Habshee (pix) berkata, langkah itu dapat menambah kutipan zakat bagi membantu lebih ramai asnaf, sekali gus memberi kesedaran kepada pekerja mengenai kewajipan membayar zakat.

“Membayar zakat merupakan tanggungjawab setiap orang Islam dan ia berperanan membangunkan ekonomi umat Islam terutama semasa pandemik Covid-19, yang mencatatkan peningkatan golongan asnaf.

“Kadar zakat hanya 2.5 peratus sahaja daripada harta atau pendapatan. Kadar ini bukanlah satu kadar yang membebankan pembayar zakat. Jika tidak pernah (membayar zakat), sebaiknya mulakan sekarang pada bulan ini,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pemimpin sepatutnya menunjukkan contoh teladan kepada pekerja Islam, dengan membuat pemotongan zakat pendapatan sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar atau bersih masing-masing.

Melalui langkah ini, sasaran 500,000 pembayar zakat oleh PPZ-MAIWP dapat dicapai, seterusnya memastikan sasaran nilai kutipan zakat sebanyak RM800 juta tahun ini dipenuhi.

Selain itu, beliau berkata PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah sebanyak RM120 juta sepanjang bulan Ramadan.

Syed Ali berkata, orang ramai digalakkan melunaskan tanggungjawab membayar zakat menerusi pelbagai kemudahan yang disediakan, seperti kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari sepanjang Ramadan, perkhidmatan Kaunter Zakat Digital dan perkhidmatan ‘pintu ke pintu’.

Bayaran zakat juga boleh dibuat menerusi saluran bayaran dalam talian di laman web www.fitrah.zakat.com.my atau www.zakat.com.my dan ejen kutipan zakat iaitu melalui perbankan internet bagi 15 bank serta e-dompet Boost, Shopee dan GoPayz. -Bernama

email blast