SEARCH

Pemilik premis di KL terjejas akibat PKPB boleh mohon pengecualian cukai pintu

15 Oct 2020 / 19:59 H.

PUTRAJAYA: Pemilik premis di Kuala Lumpur yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pandemik Covid-19 boleh membuat permohonan untuk pengecualian cukai pintu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pemilik harus mengemukakan bukti premis tidak disewa atau tidak menjana pendapatan kerana kelembapan ekonomi susulan penularan Covid-19.

Mereka boleh membuat permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah, yang diberikan kuasa untuk mengecualikan pembayaran cukai pintu.

“Rebat akan dipertimbangkan oleh Datuk Bandar mengikut kes,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini selepas mengumumkan inisiatif tambahan sebanyak RM39.75 juta bagi Wilayah Cakna 3.0 bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terkesan dengan PKPB.

Annuar berkata keseluruhan perbelanjaan untuk pelaksanaan bantuan dan inisiatif Wilayah Cakna untuk tempoh Mac sehingga 12 Okt adalah sebanyak RM108.64 juta.

Annuar berkata komuniti yang menetap di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam DBKL akan diberi pengecualian bayaran sewa rumah bermula Oktober hingga Disember.

“Keseluruhan peruntukan ini berjumlah RM14.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penyewa,“ katanya.

Turut diberikan pengecualian caj sewaan premis niaga milik DBKL dimanfaatkan 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur.

Annuar berkata mereka turut diberi pengecualian bayaran untuk pembaharuan lesen perniagaan bagi November yang melibatkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000.

Pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) pula memberi manfaat kepada 302 penjaja dan peniaga di Putrajaya bermula Oktober hingga Disember yang melibatkan pengecualian hasil kepada PPj sebanyak RM1.87 juta, katanya.

Penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya juga diberi pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan yang dibuat dalam tempoh Oktober hingga Disember melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000, katanya.

Annuar berkata sumbangan RM3,000 yang dibayar sekali akan diberikan kepada 11 majlis perwakilan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan enam sub zon di Putrajaya, manakala RM2,000 dibayar sekali juga kepada 570 persatuan penduduk.

Ia bagi pelaksanaan program pencegahan Covid-19 dan amalan pematuhan dalam kalangan komuniti supaya rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan dengan berkesan, katanya. — Bernama

email blast