KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin dunia Arab merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 semalam.

Menurut Agensi Berita Bahrain (BNA), Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad al-Khalifa menzahirkan ucapan tahniah baginda kepada Anwar, selain mendoakan lebih banyak kejayaan dapat dicapai Malaysia.

Agensi Berita Qatar (QNA) turut melaporkan perutusan tahniah Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Qatar Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al Thani kepada Anwar.

Sementara itu, Perdana Menteri Yaman Dr Maeen Abdulmalik Saeed juga merakamkan ucapan tahniah di samping mendoakan agar Malaysia mencapai kemajuan pada masa akan datang.

Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan persaudaraan antara Yaman dan Malaysia akan terus utuh dan perhubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang semakin kukuh demi kepentingan bersama. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image