KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk menerajui kerajaan perpaduan mencerminkan kematangan politik di negara ini, menurut pemimpin utama negeri.

Menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri menyambut baik pelantikan itu setelah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah terserlah dalam menyarankan pembentukan kerajaan perpaduan dengan hampir semua blok politik mengambil keputusan menyertainya.

“Saya percaya ini lambang kebijaksanaan dan kematangan politik demi kestabilan negara setelah masing-masing menguji sokongan dan populariti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.

Alhamdulillah setelah perjuangan yang sangat panjang dan mengalami liku-liku jatuh bangun, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 dan saya ingin mengucapkan ribuan tahniah bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor atas pelantikan beliau,“ katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Istana Negara pada pukul 5.06 petang semalam.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata rakyat perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana ia telah dipersetujui dalam perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang berlangsung hari ini dan mengambil kira pelbagai faktor demi kepentingan rakyat dan negara.

Sulaiman berkata pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat tidak mengganggu-gugat kedudukan kerajaan negeri sedia ada yang diterajui Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri Melaka pada November tahun lepas.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula melahirkan kepercayaan bahawa Anwar mempunyai perancangan bagi memantapkan sebuah pentadbiran dan menggemblengkan semua rakyat bagi menyokongnya.

Beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada Anwar berkata Pulau Pinang sedia bekerjasama sebagai satu pasukan dalam lembaran baharu ini.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PH negeri itu Datuk Seri Aminuddin Harun turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikannya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam satu kenyataannya pula, selain memberi ucapan tahniah, beliau turut menaruh keyakinan akan wujud kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan serta usaha menunaikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Beliau juga berharap Manifesto PH termasuk memperkasakan wilayah Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan sebaiknya.

Turut senada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengucapkan tahniah kepada Anwar. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image