SEARCH

Penahahan Adun Bersatu tidak jejas kempen Warisan di Kimanis

14 Jan 2020 / 10:34 H.

KIMANIS: Penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kuala Lumpur pada awal pagi Isnin, tidak menjejaskan kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penahanan Adun itu oleh polis menunjukkan ketelusan kerajaan dalam mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan pangkat, sekiranya mereka melakukan kesalahan jenayah.

“Sekurang-kurangnya kita telus dalam mengambil tindakan tidak kira apa darjat, apa pangkat dalam parti, maknanya kerajaan sangat bertanggungjawab,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Anak Muda Kimanis di Bongawan dekat sini, Isnin malam.

Media tempatan semalam melaporkan seorang Adun adalah antara 17 individu yang ditahan polis dalam operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, pada awal pagi Isnin, dan hasil ujian air kencing mendapati ada antara mereka yang ditahan positif dadah.

PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sementara itu, mengulas mengenai komitmen kerajaan negeri terhadap golongan muda, Mohd Shafie berkata parti itu sentiasa memberi keutamaan kepada penglibatan anak muda untuk masa depan Sabah termasuk dalam mewarisi kepimpinan negeri.

Sebab itu, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata ketika penubuhan Warisan, pimpinan parti itu turut disertai anak muda antaranya Datuk Darrel Leiking yang memegang jawatan timbalan presiden, serta masing-masing Datuk Junz Wong dan Datuk Peter Anthony selaku naib presiden Warisan.

“Saya mahukan penglibatan anak muda untuk masa depan ... masa bentuk Warisan, barisan pimpinan kita libatkan anak muda antaranya Darrel berusia 30-an dan Junz berusia 20-an. Saya sahaja berusia lebih 60 tahun ... saya bimbing mereka jadi pewaris kepada perjuangan ini,“ kata Mohd Shafie.

Perhimpunan itu turut dihadiri Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Wira Warisan Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis. — Bernama

email blast