PUTRAJAYA: Penambahbaikan infrastruktur kamera litar tertutup (CCTV) di fasiliti awam dan pelaksanaan kursus pencegahan gangguan seksual adalah antara pelan tindakan yang terkandung dalam Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata garis panduan itu merangkumi dua pelan tindakan iaitu program advokasi bagi pencegahan gangguan seksual dan advokasi bagi kesedaran gangguan seksual.

“Ia merangkumi cadangan dan langkah bersesuaian yang perlu diambil bagi meningkatkan pencegahan terhadap gangguan seksual seperti di tempat kerja, pengangkutan awam, fasiliti pendidikan serta pusat jagaan kanak-kanak,” katanya ketika berucap merasmikan Jerayawara Program AAGS di sini hari ini.

Beliau berkata elemen kesedaran pula meliputi program bagi meningkatkan pemahaman dalam kalangan masyarakat terutama mengenai perlakuan yang menjurus kepada gangguan seksual dan tindakan yang boleh diambil berhubung perkara itu.

Garis panduan itu, yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), boleh didapati menerusi pautan yang disediakan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) adalah manifestasi kerajaan bahawa kesalahan itu merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia.

Akta 840 diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 serta dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula berharap program advokasi itu memfokus kepada penggunaan garis panduan berkaitan antigangguan seksual di organisasi kerajaan serta swasta bagi menyediakan persekitaran yang selamat bukan hanya untuk wanita tetapi juga lelaki.

Beliau berkata KPWKM, melalui Jabatan Pembangunan Wanita, akan melaksanakan program itu di premis awam dan tempat kerja di peringkat komuniti sepanjang 2023 di seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyarankan agar Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil langkah susulan ekoran keengganan penyedia perkhidmatan Telegram memberi kerjasama kepada kerajaan bagi mencari penyelesaian berhubung isu keselamatan siber.

Beliau berkata walaupun penggunaan Telegram tidak meluas seperti aplikasi lain di Malaysia namun kandungan yang berbaur negatif akan memberi kesan kepada rakyat.

“Negara kita mempunyai sistem, biarpun kita mempunyai perjanjian atau protokol untuk melayani semua saluran media namun perkara yang bukan sahaja (menyentuh) soal perundangan tetapi bahan yang terkandung dan tersebar di dalamnya harus dilakukan pencegahan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program AAGS.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata pihak Telegram masih gagal untuk bertemu serta bekerjasama dengan pihak berkuasa walaupun sudah beberapa kali dipanggil pada tahun ini selepas pihaknya menerima banyak aduan berhubung salah guna platform itu termasuk yang melibatkan penipuan dalam talian. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image