KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran yang tinggi turut mengundang masalah peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL), terutamanya ketika tempoh-tempoh berlakunya krisis.

NPL merujuk keadaan apabila individu atau peminjam berkenaan secara berterusan dalam tempoh 3-6 bulan terbukti gagal melunaskan sebarang bayaran prinsipal atau faedah berjadual yang ditetapkan.

Dalam keadaan semasa misalnya, bukan setakat NPL menjadi tumpuan malah risiko kerugian peruntukan pinjaman juga ketara serta berkemungkinan meningkatkan nisbah rosot nilai pinjaman kasar.

Situasi sedemikian sudah pasti memberi kesukaran kepada pihak bank kerana ia boleh menyebabkan agensi penarafan bertindak menyemak turun penarafan sektor perbankan secara global.

Sejajar hasrat mengurangkan NPL akibat faktor kehilangan kerja serta pengurangan gaji atau upah susulan impak pandemik COVID-19, kerajaan bertindak mengumumkan langkah moratorium selama enam bulan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan matlamat memacu mudah tunai atau kewangan orang ramai.

Menurut Kementerian Kewangan, moratorium bayaran balik pinjaman oleh institusi kewangan yang bermula sejak 1 April, 2020 dianggarkan berjumlah kira-kira RM51.4 bilion setakat 6 Julai, 2020.

Pada awal bulan ini, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat itu tidak berhasrat melanjutkan langkah berkenaan kerana memberi kesan yang sebaliknya mahu dielak oleh pihak bank.

Mungkin ada yang terfikir, apa salahnya jika pihak bank melanjutkan moratorium berkenaan demi membantu pelanggannya? Jika ya, apakah ia dalam bentuk moratorium secara menyeluruh atau secara bersasar?

Perlu diingat, sektor perbankan yang stabil adalah teras atau amat penting bagi usaha pemulihan negara dan kita sedaya upaya mengelak keadaan yang pernah dialami Amerika Syarikat (AS) ketika krisis pada 2007 sehingga 2010.

Sebarang pemulihan yang perlahan bagi sektor kewangan dalam tempoh pasca mana-mana krisis kewangan, berkemungkinan besar akan mencetuskan satu lagi krisis kredit sepertimana yang telah berlaku di AS berikutan penularan COVID-19.

Pendekatan Mengikut Setiap Kes : Langkah Global

Oleh kerana pelaksanaan moratorium secara menyeluruh akan memberi tekanan tambahan terhadap sistem kewangan dari segi menjejaskan aliran tunai, bank-bank di peringkat global telah mengambil pendekatan berdasarkan atau mengikut setiap kes terbabit bagi menanganinya dengan mengambil kira impak ekonomi terhadap peminjam.

Berikut adalah pendekatan dilaksanakan beberapa negara:

Singapura: Sebagai langkah awal bagi mengelak berlakunya kegagalan pembayaran itu, bank pusat Singapura menawarkan bantuan pinjaman untuk individu dan syarikat. Individu boleh mengemukakan permohonan kepada bank-bank bagi menangguhkan pembayaran prinsipal dan kadar faedah pinjaman perumahan sehingga 31 Dis, 2020. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menangguhkan pembayaran pinjaman prinsipal bagi pinjaman bertempoh, juga sehingga akhir tahun ini.

Thailand : Bank-bank di Thailand telah mengumumkan pakej bantuan hutang pada awal Mac lepas yang menawarkan tempoh pembayaran balik pinjaman sehingga setahun lamanya.

United Kingdom : Beberapa bank di Britain telah menawarkan penangguhan bayaran gadai janji dan pinjaman dalam usaha mengelak potensi berlakunya kegagalan peminjam berbuat demikian akibat krisis COVID-19. Ia turut menawarkan untuk menaikkan had kad kredit pelanggan terbabit bagi tempoh tertentu serta mengecualikan fi ke atas wang pendahuluan tunai kad kredit.

Itali: Pada awal Mac lepas, kerajaan Itali telah mengumumkan langkah untuk menggantung semua pembayaran gadai janji ketika negara itu melaksanakan perintah berkurung bagi membendung COVID-19. Kumpulan pelobi perbankan Itali, ABI berkata peminjam turut menawarkan kemudahan penangguhan bayaran hutang kepada firma kecil dan keluarga.

Amerika Syarikat : Dua firma gadai janji terkemuka Fannie Mae dan Freddie Mac telah memberi kelonggaran kepada pelanggan masing-masing dalam bentuk menurunkan atau menangguhkan pembayaran pinjaman perumahan sehingga 12 bulan.

Kesan berpanjangan ke atas sektor perbankan

Pada April, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun bank berada dalam situasi tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini, sektor itu dijangka mampu bertahan kerana bank-bank ini mempunyai kedudukan modal yang kukuh dan melepasi syarat peraturan.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019, penampan modal bank-bank pada Februari 2020 ialah RM121 bilion, manakala penanggung insurans sebanyak RM23.6 bilion pada akhir 2019.

Penampan ini melebihi jumlah minimum peraturan dan lebih dua kali ganda semasa krisis Kewangan Global pada 2008. Ini telah membolehkan bank, institusi kewangan dan penanggung insurans melaksanakan langkah-langkah seperti enam bulan moratorium di samping bantuan untuk isi rumah dan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas hampir enam bulan dan dengan pelaksanaan moratorium berkenaan, penampan modal boleh menjadi lemah sekira bank terus mengeluarkannya.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Anthony Dass berkata kemudahan moratorium enam bulan itu memberikan banyak masa untuk peminjam menyusun semula kewangan mereka, sementara fasa berikutnya sepatutnya lebih menjurus kepada moratorium secara bersasar.

“Tiadanya aliran tunai kepada bank untuk jangka masa yang lebih lama akan menyebabkan jurang tunai yang berpanjangan. Ini akan menjejaskan mudah tunai kewangan bank. Ia juga akan meninggalkan impak ke atas pendapatan langsung dan margin faedah bersihnya,” kata beliau kepada Bernama.

Meskipun beberapa bank telah mengumumkan mereka tidak akan melanjutkan moratorium melebihi enam bulan, ada juga yang telah mengumumkan mereka akan menyediakan moratorium berdasarkan sasaran.

Golongan yang disasarkan melibatkan mereka yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik atau mengalami penurunan gaji dalam proses itu, yang menyebabkan mereka berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melunaskan pinjaman.

Bagaimanapun, untuk mereka yang masih bekerja dan menerima gaji seperti biasa, moratorium bagi mereka berakhir pada 30 Sept, 2020, dan pembayaran disambung semula pada Oktober.

Menurut statistik, jumlah pinjaman yang dibayar semula kepada sistem perbankan telah menunjukkan penurunan sejak moratorium diperkenalkan.

Pada Januari 2020, jumlahnya ialah RM109.8 bilion sementara pada Mei 2020, ia mencatatkan RM78.3 bilion.

Sementara itu, jumlah pinjaman yang dibayar oleh sektor isi rumah menunjukkan 50 peratus pengurangan daripada RM31.1 bilion kepada RM16.3 bilion pada Mei 2020.

Situasi sukar: Menilai Semula Kewangan Anda

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Afzanizam Mohd Rashid berkata mereka yang menghadapi masalah kewangan kerana kehilangan pekerjaan atau pengurangan sumber pendapatan seharusnya tampil dan bersikap jujur dengan bank mengenai masalah yang mereka hadapi.

“Kita mempunyai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan di bawah payung Bank Pusat. Ia boleh menjadi pengantara kepada peminjam yang berkelayakan,” kata beliau.

Beliau menambah peminjam juga boleh membiayai dan menyusun semula pinjaman mereka kerana kadar faedah yang rendah membolehkan peminjam membayar bank pada kadar faedah yang rendah juga.

Setakat tahun ini, Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diturunkan sebanyak 125 mata asas atau bersamaan 1.25 peratus.

Penyusunan semula hutang boleh dilakukan apabila peminjam berhadapan kesukaran kewangan sehingga menghalang pembayaran semula pinjaman pada waktu yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pembiayaan semula hutang digunakan pada asas yang lebih meluas berbanding penyusunan semula, yang mana peminjam memanfaatkan pinjaman yang baharu diperoleh menerusi terma yang lebih baik untuk melunaskan pinjaman sebelumnya.

“Yang pastinya, bank juga akan memahami bahawa ini adalah masa yang sukar untuk semua dan bersikap jujur mengenai kedudukan kewangan anda akan memberi manfaat kepada anda untuk tempoh jangka masa panjang. Berdiam diri hanya akan menambah tekanan tambahan di masa akan datang,” kata beliau.

Tinjauan mencabar untuk semua

Walaupun pengangguran dijangka meningkat kepada enam peratus tahun ini, lebih tinggi daripada kadar yang dialami semasa krisis kewangan 1887 dan 2008, kekangan kewangan akan menjadi masalah kepada banyak pihak kerana ekonomi kemungkinan berhadapan dengan kemelesetan.

Ini telah mendorong bank pusat merendahkan OPR ke paras 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Meskipun beberapa penganalisis percaya masih ada ruang untuk satu lagi penurunan iaitu sehingga 1.50 peratus, ada pihak percaya kadar asas itu akan kekal sehingga akhir tahun ini kerana ekonomi telah mula pulih selepas berakhirnya COVID-19.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Rabu lepas memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

MPC akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 10 Sept dan 3 Nov tahun ini.

Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global. Keadaan ekonomi global terus lemah dengan pertumbuhan global diunjurkan negatif pada tahun ini, kata bank pusat.

BNM telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada -2 peratus hingga 0.5 peratus, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus.

Menurut BNM, pengurangan OPR dapat memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Bagi perniagaan, cabaran tetap ada terutamanya untuk sektor perkhidmatan dan pelancongan yang mana kedua-dua sektor ini tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kerana sempadan antara negara masih lagi ditutup sehingga diberitahu kelak.

Pada 2018, sektor perkhidmatan menyumbang kira-kira 52.96 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sementara pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK, selepas pembuatan dan komoditi. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image