SEARCH

Penduduk harap lebih banyak infrastruktur, peluang pekerjaan di DUN Chini

24 Jun 2020 / 12:00 H.

PEKAN: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berharap wakil rakyat baharu kawasan itu dapat memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda.

Dua perkara berkenaan adalah penting bagi penduduk di kawasan berkenaan dalam memastikan keselesaan dan kualiti kehidupan mereka dapat ditingkatkan.

Pengerusi Majlis Belia Felda Chini 5 Mohd Fadil Ismail, 33, berkata antara pembangunan infrastruktur yang mahu dilihat dibangunkan di kawasan DUN Chini ialah lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi.

Katanya dengan kewujudan kemudahan seperti itu mampu membuka potensi anak-anak jati kawasan berkenaan untuk menceburi bidang sukan secara profesional.

“Saya dan golongan belia di sini berharap wakil rakyat yang menang nanti dapat melihat kemungkinan dibangunkan lagi kemudahan sukan di sini.

“Saya percaya ia akan membolehkan belia di sini mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah dan mengurangkan gejala sosial,“ katanya kepada Bernama.

Bagi penduduk Felda Chini Timur 1 Jamilah Md Isa, 58, pula, antara isu yang perlu ditangani oleh wakil rakyat baharu nanti ialah pembangunan perumahan generasi kedua peneroka Felda selain meningkatkan kemudahan rawatan air bersih bagi penduduk di sini.

Katanya perumahan generasi kedua peneroka Felda adalah penting kerana masih ramai yang tidak mempunyai kediaman sendiri dan terpaksa menumpang di rumah ibu bapa mereka.

“Pembangunan perumahan generasi kedua peneroka boleh dilaksanakan di atas tanah kediaman peneroka yang sudah tidak mahu tinggal di kawasan Felda lagi, seperti yang dicadangkan suatu masa dulu,“ katanya.

Selain aspek infrastruktur, penduduk di kawasan DUN itu juga berharap dapat diwujudkan peluang pekerjaan baharu berbanding hanya sektor perladangan, terutama buat golongan muda

Penduduk Felda Chini 5 Sarjuni Konting, 62, berkata peluang pekerjaan bagi penduduk di kawasan berkenaan perlu diberi penekanan kerana ia mampu meningkatkan ekonomi setempat.

Peneroka sejak 1983 itu mencadangkan agar projek Felda Terapai di sini, yang ketika ini diusahakan oleh pekerja yang digajikan, dibuka kepada generasi kedua peneroka di kawasan ini bagi diusahakan sekali gus menambah peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan berkenaan.

“Peluang bagi mengusahakan ladang di Felda Terapai boleh diberikan kepada generasi kedua peneroka di sini, dengan memberikan mereka tanah untuk diusahakan sama seperti peneroka generasi pertama.

“Jika tidak dapat diberikan tanah seluas 10 ekar (4.05 hektar) seperti kami dahulu pun, mungkin boleh diberikan tanah seluas lima ekar (2.02 hektar) kepada mereka,“ katanya.

Pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada 4 Julai ini melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. - Bernama

email blast