MELAKA: Penduduk Taman Rambai Utama di sini menggesa pihak berkaitan supaya segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan perumahan mereka sejak beberapa tahun lepas.

Penduduk mendakwa masalah itu sering berulang terutama apabila hujan lebat berikutan sistem perparitan yang sempit dan tersumbat, menyebabkan air longkang melimpah dan membanjiri rumah mereka.

Seorang penduduk Hidayat Azizan, 36, berkata masalah itu dihadapi sejak 2012 namun keadaan itu menjadi lebih teruk bermula 2018 apabila kira-kira sepuluh buah rumah di kawasan itu sering dinaiki air.

“Pada mulanya air hanya bertakung di jalan raya tetapi kini kami terpaksa membersihkan lantai dalam rumah selepas air naik sehingga separas buku lali selain menyebabkan perabot rosak dan terpaksa dibuang.

“Kita amat berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya seperti membesarkan longkang di hadapan taman ini supaya air dapat mengalir ketika hujan lebat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Osman Said, 62, berkata beliau yang tinggal di taman perumahan itu lebih 30 tahun berkata banjir kilat berlaku sebanyak dua kali pada tahun ini.

Subkontraktor itu berkata keadaan berkenaan menyukarkan mereka sekeluarga selain terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit kerana lori yang digunakan untuk bekerja ditenggelami banjir.

“Kadangkala seperti tadi ada ular air yang sepanjang dua kaki masuk ke dalam rumah namun mujur disedari kami dan saya amat berharap masalah ini mendapat perhatian sewajarnya.

“Kita amat berharap pihak berkaitan dapat turun padang dan melihat sendiri keadaan parit itu supaya ia dapat ditambah baik agar penduduk di sini tidak lagi risau apabila hujan lebat,” katanya.

Beberapa kawasan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin dilanda banjir kilat pagi ini ekoran hujan lebat yang menyebabkan air dari sungai dan parit melimpah ke kawasan perumahan rendah. - Bernama