SHAH ALAM: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik, tiga tahun lepas.

Mohammad Syafiq Iqbal Mohammad Helmi, 31, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya, menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook dari akaun ‘Syafiq Iqbal’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca pada 4.41 petang 23 Dis 2019 di sebuah pusat telekomunikasi, di Jalan Delima 1/1, Subang Hi-tech Industrial Park, Subang Jaya, dekat sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta sama, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda selanjut RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SKMM setiap bulan manakala peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja.

“Tertuduh yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, masih bujang serta mempunyai masalah kemurungan selepas kedua ibu bapanya bercerai,” katanya.

Hakim Rasyihah Ghazali membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 21 Feb depan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image