SEARCH

Pengarah syarikat didakwa salah guna wang berjumlah RM96,780

14 Jul 2020 / 13:59 H.

BUTTERWORTH: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM96,780 milik sebuah syarikat, enam tahun lepas.

Tertuduh, Kamaruzzaman Kamaludeen, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai Pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn Bhd dengan curangnya menyalahgunakan harta melibatkan wang masing-masing berjumlah RM5,600, RM920, RM8,800 dan RM81,460 milik Syarikat Natureceuticals Sdn Bhd.

Dia yang juga bertugas sebagai pegawai kewangan ketika kejadian itu didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di empat lokasi berlainan iaitu di RHB Bank Bhd Taman Inderawasih, Perai; AmBank (M) Bhd, Pusat Bandar Seberang Jaya; Malayan Bank Bhd Pusat Perniagaan Rozhan, Alma dan Public Bank Bhd, Jalan Jelutong, antara 5 Dis 2014 hingga 27 Mei 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam hingga lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri dan S. Selvaranjini menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan.

Bagaimanapun, Kamaruzzaman yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar mengurangkan jaminan atas alasan dia mempunyai masalah kesihatan dan merupakan penanggung utama keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan serta menetapkan 27 Ogos sebagai sebutan semula kes. - Bernama

email blast