KUALA LUMPUR: Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh memohon untuk membatalkan pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur yang dihadapinya.

Abdul Hamid Shaikh, 49, memfailkan notis bantahan awal menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen di sini, pada 31 Mei lalu.

Berdasarkan notis tersebut, pihak pembelaan mendapati pertuduhan terhadap Abdul Hamid Shaikh cacat selain tidak berasas kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak dinyatakan.

Selain itu, pertuduhan tersebut gagal mematuhi peruntukan Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah kerana satu daripada butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan tidak dinyatakan dalam pertuduhan.

Pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Hamid Shaikh mengesahkan telah memfailkan notis itu menerusi e-mel selain telah menerima sebahagian dokumen kes daripada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat berkata pihaknya akan menyerahkan sebahagian lagi dokumen kes tersebut kepada pembelaan pada sebutan kes akan datang dan mengesahkan telah menerima notis bantahan awal.

Suzana menetapkan 19 Jun untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan 18 Julai ini untuk keputusan bagi permohonan bantahan awal itu.

Terdahulu, di hadapan Hakim Rozina Ayob, Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan supaya kes syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd digantung sementara pelupusan prosiding kes Abdul Hamid Shaikh.

Mahadi pula berkata pihaknya memohon untuk memindahkan kes syarikat Hydroshoppe ke Mahkamah Sesyen lain untuk dibicarakan bersama kes Abdul Hamid Shaikh.

Amer Hamzah membantah perkara itu dan meminta agar pihak pendakwaan membuat permohonan itu secara bertulis.

Rozina menetapkan 5 Julai ini untuk pendengaran permohonan penggantungan sementara kes syarikat Hydroshoppe dan pemindahan kes itu ke Mahkamah Sesyen lain.

Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan melalui Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Sementara itu, syarikat Hydroshoppe didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, seorang ahli perniagaan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image