KOTA BHARU: Polis menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata hasil siasatan mendapati mangsa telah berada di Masjid Pulau Melaka bagi menunaikan solat.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang, mangsa telah mengamuk dan berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan masjid yang bertugas.

“Mangsa telah berjaya ditahan dengan bantuan daripada pelajar-pelajar Maahad Tok Guru.

“Polis yang tiba kira-kira 7 malam mendapati lelaki terbabit berada dalam keadaan terbaring. Pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata susulan itu pengawal keselamatan terbabit telah ditahan dan proses permohonan reman akan dilakukan.

“Seramai 12 orang saksi termasuk pelajar, warden dan tukang masak maahad tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu mematikan orang dengan salah,” katanya.

Muhamad Zaki berkata siasatan lanjut mendapati pada Sabtu (28 Jan), ibu mangsa telah membuat laporan polis selepas lelaki tersebut mengamuk di rumahnya di Pasir Puteh serta mencederakan neneknya.

“Mangsa kemudian telah keluar rumah dan tidak balik,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image