SEARCH

Pengunjung boleh memasuki terminal lapangan terbang: MAHB

22 Jun 2020 / 15:03 H.

KUALA LUMPUR: Para pengunjung kini dibenarkan memasuki bangunan terminal lapangan terbang berkuat kuasa 19 Jun lepas, demikian menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menurut kenyataan pengendali lapangan terbang itu, pengecualian tersebut adalah sejajar dengan kelonggaran sekatan berperingkat bagi mereka yang melakukan perjalanan udara di Malaysia.

“Kelonggaran lain termasuk mengecualikan langkah penjarakan sosial yang ketat di pintu berlepas bagi melancarkan proses terbabit mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, hanya penumpang dengan dokumen perjalanan yang sah dibenarkan masuk ke ruang terbabit.

MAHB bagaimana pun menegaskan, pengecualian itu hanya diberikan selepas semua langkah keselamatan berkaitan usaha membendung penularan COVID-19 telah dilaksanakan di lapangan terbang.

“Langkah-langkah keselamatan sedia ada adalah memadai, bukan hanya bagi mengelak penularan virus itu tetapi melindungi semua tetamu dan komuniti di lapangan terbang,” katanya.

Sejajar kelonggaran sekatan perjalanan udara dan jangkaan kehadiran lebih ramai pengunjung di pintu masuk itu, MAHB telah meningkatkan usahanya bagi melindungi orang ramai dan kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

Kesemua usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang beroperasi di lapangan terbang, rakan syarikat penerbangan dan pengendali serta pihak peruncit.

Sebahagian besar perniagaan di lapangan terbang itu juga telah menyambung operasi masing-masing bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman perjalanan yang lancar serta selesa.

“Selain kekal komited terhadap usaha memastikan keberkesanan langkah-langkah keselamatan itu, kami juga mengambil peluang ini untuk mengingatkan semua pengunjung agar bertindak sewajarnya bagi menjadikan Malaysia selamat serta bebas daripada penularan COVID-19,” katanya. - Bernama

email blast