LANGKAWI: Ketibaan pelancong susulan pembukaan semula industri pelancongan di bawah projek rintis gelembung pelancongan yang bermula semalam, dilihat telah ‘menghidupkan’ kembali aktiviti rutin di pulau ini.

Kehadiran kira-kira 3,200 pelancong semalam dan lebih ramai pada hari ini sedikit sebanyak telah memberi sinar kepada kepada pengusaha pelancongan dan peniaga kecil di Langkawi, yang turut dikenali sebagai Permata Kedah.

Tinjauan Bernama di Pantai Chenang yang merupakan salah satu lokasi popular mendapati, hampir sebahagian besar premis perniagaan di Jalan Pantai Chenang mula beroperasi sejak semalam dan keadaan jalan di situ mula dipenuhi kenderaan.

Peniaga pakaian dan cenderamata Siti Fatimah Abidin, 29, berkata walaupun kehadiran pelancong belum benar-benar dirasai, namun beliau bersyukur kerana dapat menjalankan semula perniagaan selepas lebih lima bulan tidak beroperasi.

Katanya, pada hari pertama projek rintis gelembung pelancongan semalam, kedainya mula dikunjungi pelancong dan meraih sedikit pendapatan dan berharap keadaan bertambah baik pada hari ini dan seterusnya.

“Saya rasa lega dapat buka balik perniagaan, sebelum ini kita buka lepas itu tutup, buka semula dan tutup lagi disebabkan Covid-19, sehinggalah sejak lima bulan lepas kita tutup terus kedai sehingga dibuka semula semalam,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Penyedia perkhidmatan sukan air dan aktiviti rekreasi Salma Yusof, 50, berkata selepas kemasukan pelancong ke Langkawi sejak semalam, beliau telah berjaya menjual beberapa pakej sukan air kepada pelancong yang berkunjung ke Pantai Chenang.

Menurutnya walaupun jualan itu kurang memberangsangkan, namun beliau percaya ia akan bertambah baik apabila jumlah pelancong meningkat di Langkawi untuk beberapa hari akan datang.

“Semalam sudah ada pelancong yang ambil pakej, hari ini mungkin ada lagi nanti. Saya bersyukur dapat semula cari pendapatan sebab sebelum ini apabila tiada pelancong, kita memang tiada pendapatan langsung,“ katanya.

Sementara itu, seorang ejen pakej pelancongan yang hanya mahu dikenali sebagai Aini berkata sejak semalam dia telah mula menerima panggilan daripada orang ramai, yang ingin mengetahui mengenai pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan.

“Setakat ini belum ada tempahan, mungkin pelancong masih buat tinjauan harga atau mendapat maklumat, tapi saya rasa gembira dapat berkerja semula sebab sudah lima bulan saya tidak bekerja dan tiada pendapatan,” katanya yang berharap akan menerima tempahan pakej pelancongan daripada pelanggan tidak lama lagi.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image