SEARCH

Peniaga ayam dikompaun RM2,500 jual ayam lebih harga siling

22 May 2020 / 16:05 H.

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga ayam di Pasar Keramat di sini dikompaun RM2,500, setelah didapati menjual ayam dengan harga RM9 sekilogram, melebihi harga siling yang ditetapkan.

Harga siling ayam yang ditetapkan ialah RM7.50 sekilogram.

Peniaga itu dikesan melakukan kesalahan itu ketika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), melakukan tinjauan di Pasar Keramat di sini hari ini.

Ketua Pengarah KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang menyertai tinjauan itu berharap, harga barangan bekalan terus terkawal, dengan penetapan harga siling di peringkat borong dan runcit terutama di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima tujuh aduan melibatkan empat kesalahan berkaitan bekalan dan harga barang di seluruh negara, sejak pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Rabu lepas.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, nilai rampasan setakat ini adalah RM7,000, manakala nilai kompaun yang telah dibayar ialah RM1,129,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan di pasar itu.

Beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan, di seluruh negera.

Sementara itu Hasnol berkata, KPDNHEP merekodkan lebih RM26 juta nilai rampasan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), di seluruh negara sehingga semalam.

Beliau berkata, dalam tempoh itu sebanyak 583 kes dicatatkan, dan sebanyak 437 kompaun telah dikeluarkan.

“Daripada kompaun itu, sebanyak RM340,750 kompaun telah dibayar,” katanya.

Hasnol berkata, antara kesalahan yang dikompaun ialah tidak meletakkan tanda harga, tidak mempunyai lesen untuk menjual barang-barang kawalan seperti gula, peniaga meletak harga yang berlainan, guna alat timbang yang tidak disahkan, dan menjual barangan tiruan. – Bernama

Untitled Document

email blast