KUALA LUMPUR: Seorang peniaga barangan terpakai mengalami kerugian RM15,000 selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh PDRM (Perqaseh).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa dihubungi suspek pada awal April lepas dengan suspek berjanji untuk memudahkan urusan mangsa mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh jika mangsa memberi sumbangan kepada pertubuhan kebajikan itu.

Beliau berkata sejak April hingga Sept lepas, mangsa telah melakukan tiga transaksi wang tunai berjumlah keseluruhan RM15,000 kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil Perqaseh.

“Mangsa sedar dirinya ditipu kerana masih tidak menerima lesen seperti dijanjikan sehingga sekarang dan membuat laporan polis dua hari lepas.

“Siasatan awal polis dengan pihak Perqaseh mengesahkan pertubuhan itu tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai dan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham mengingatkan orang ramai bahawa PDRM tidak pernah melantik mana-mana individu, syarikat atau persatuan serta tidak pernah menetapkan sebarang sumbangan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat permohonan lesen mengikut saluran yang ditetapkan dan tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu dan diminta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada menerima tawaran ataupun mempunyai sebarang maklumat tentang perkara ini,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image