MELAKA: Kes penipuan dalam talian di Melaka merekodkan peningkatan sebanyak lima peratus kepada 320 kes dengan kerugian berjumlah RM4.4 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 304 kes melibatkan kerugian RM5.3 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata penipuan dalam talian berkenaan melibatkan modus operandi pinjaman tidak wujud, belian dalam talian serta pelaburan dan ia merupakan tiga kes tertinggi direkodkan di negeri itu dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, penipuan pelaburan merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu RM2.75 juta melibatkan 107 kes, diikuti penipuan pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM896,000 (98 kes) manakala penipuan belian dakam talian melibatkan kerugian RM765,000 (115 kes).

“Walaupun secara keseluruhan nilai kerugian penipuan dalam talian melibatkan tiga modus operandi berkenaan berkurangan, namun kes itu meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan ‘Pride of Workmanship’ kepada Petugas Barisan Hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Melaka di sini hari ini.

Pada majlis itu, polis Melaka menerima sumbangan RM3,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Gabenor Kelab Rotary Malaysia Datuk Bindi Rajasegaran bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan petugas barisan hadapan dari kontijen itu yang bertungkus-lumus membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Zainol berkata 60 petugas barisan hadapan di tiga daerah di kontijen itu akan menerima sumbangan berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan daripada Kelab Rotary Malaysia. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image