KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) difahamkan lebih banyak tangkapan akan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung tuntutan palsu bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melalui Op Hire 2.0.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz berkata tangkapan yang dibuat SPRM semalam merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik antara Perkeso dan suruhanjaya itu untuk menangani pemalsuan tuntutan PenjanaKerjaya melalui Op Hire, yang dijalankan pada Julai lepas.

“Ini merupakan usaha berterusan untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab dan Perkeso difahamkan banyak lagi tangkapan yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perkeso yang melaksanakan pemantauan, penganalisisan data dan risikan berterusan mendapati terdapat majikan yang mengemukakan tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya dan senarai individu serta syarikat yang dikenal pasti diserahkan kepada SPRM untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya jika Op Hire sebelum ini lebih tertumpu di Semenanjung, tindakan penguatkuasaan dalam Op Hire 2.0 diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

“Op Hire dan Op Hire 2.0 yang dilaksanakan secara bersepadu antara Perkeso dan SPRM bermatlamat membanteras penyelewengan dana kerajaan. Sehingga kini, Op Hire telah menyelamatkan lebih daripada RM500 juta dana insentif PenjanaKerjaya daripada disalah guna majikan,” katanya.

Selain penguatkuasaan, Mohamed Azman berkata Perkeso juga telah mengukuhkan lagi sistem dalaman, proses dan tadbir urus serta mengetatkan kawalan prosedur sedia ada untuk memastikan hanya pihak yang layak mendapat insentif tersebut.

“Perkeso juga mengambil tindakan penggantungan bayaran setelah disyaki tuntutan palsu, berdasarkan penganalisisan data dan pemantauan. Tuntutan sivil terhadap pihak terbabit juga dilaksanakan untuk mendapatkan semula dana yang disalah guna.

“Perkeso menasihatkan majikan dan penyedia latihan yang telah membuat tuntuan palsu PenjanaKerjaya supaya menyerahkan semula bantuan insentif tersebut kepada Perkeso dengan segera kerana tindakan penguatkuasaan SPRM dalam Op Hire 2.0 masih berterusan,” katanya.

Menurutnya Perkeso akan terus bekerjasama dengan suruhanjaya itu dalam mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kes tuntutan palsu program (PenjanaKerjaya) melalui Op Hire 2.0.

Semalam, SPRM menahan empat individu kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA 2.0) yang mempunyai butiran palsu kepada Perkeso. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image