BATU GAJAH: Kira-kira 30 penternak di Kinta Valley dekat sini bimbang selain kecewa, apabila mendakwa kes kecurian ternakan semakin berleluasa dan tidak berkesudahan.

Mereka dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM1.3 juta, apabila lebih 260 ekor lembu mereka hilang, dipercayai dicuri dalam tempoh tiga tahun lepas.

Seorang penternak K. Kaviyarasan, 38, berkata dalam tempoh tiga tahun lalu sahaja, sebanyak 120 lembu dan 80 kerbau miliknya hilang, melibatkan kerugian kira-kira RM1 juta.

“Keluarga saya sahaja sudah buat hampir 10 laporan polis di Balai Polis Batu Gajah dan Kampar, dan kita tak boleh nak pagar kawasan kerana ia lagi memudahkan pencuri kerana ternakan berkumpul dalam suatu tempat.

“Saya bimbang jika ia tidak dibendung segera, 1,000 lembu dan 500 kerbau yang saya ternak akan mengalami nasib sama, kerana kawasan padang ragut luas melibatkan Kampar, Malim Nawar dan Batu Gajah,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penternak Nazri Zakaria, 38, berkata kebanyakan penternak semakin hilang sabar dengan keadaan yang berlaku dan meminta pihak berkuasa melakukan sesuatu dan bertindak tegas.

“Kita telah serahkan kes kepada pihak polis dan 11 suspek telah dibebaskan kemudian, malah kes tidak berpihak kepada kami, namun kami amat berharap kes seperti ini tidak berulang,” katanya.

Bagi seorang lagi penternak Pang Kee Kheong, 70, pencuri menggunakan tiga kaedah untuk menangkap lembu, iaitu menggunakan tali bagi menangkap lembu yang jinak, menggunakan suntikan ubat pelali dan menembak bagi lembu liar.

Pang berkata sudah lebih 50 ekor lembunya dicuri pihak tidak bertanggungjawab dan kebiasaannya mereka akan menjual semula hasil curi itu dengan harga murah kepada orang tengah, untuk dijual kepada pengguna.

“Mereka perlu sembelih segera dan lapah untuk hilangkan kesan atau tanda yang ada pada kulit lembu dengan segera, untuk mengelak dikesan pemilik asal,“ katanya.

Selain itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak Mohd Rawi Abdullah berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kes kecurian terbabit.

“Kita akan hantar surat ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan lanjut, kerana ia sudah berlarutan agak lama dan kerugian yang ditanggung penternak agak besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi Bernama, berkata polis menahan empat lelaki tempatan berhubung kes kecurian haiwan ternakan.

Beliau berkata tangkapan telah dilakukan pada Jumaat lepas dan semua suspek berusia antara 25 hingga 42 tahun, telah direman empat hari hingga esok.

“Siasatan awal mendapati mereka yang ditangkap turut merupakan penternak lembu. Kesemua haiwan yang dicuri, akan dijual semula kepada orang perseorangan di kawasan Perak Tengah dan Kampar,” katanya.

Beliau berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau. - Bernama