ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor masih mengkaji penyelarasan semula cuti hujung minggu yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan mengenai penyelarasan itu tidak boleh dibuat secara melulu berikutan ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan serta perlu mendapat perkenan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata penyelarasan semula cuti hujung minggu itu juga telah menjadi buah mulut rakyat di negeri ini serta pelbagai cadangan telah diterima.

“Pelbagai cadangan telah diberikan, ada yang mahu ia kekal hari Jumaat dan Sabtu supaya mudah pergi solat, ada yang mahu ia diubah ke Sabtu dan Ahad supaya selari dengan Persekutuan.

“Ada yang mahu masa rehat hari jumaat yang lebih panjang, ada yang mahu cuti dua hari setengah malah ada yang mahu cuti tiga hari seminggu. Semua pandangan dan cadangan ini saya terima dengan baik. Namun, perkara ini masih lagi dalam peringkat kajian dan ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Beliau berkata penyelarasan perlu dibuat agar ibu bapa terutama yang bekerja di sektor swasta dapat meluangkan masa bersama anak-anak mereka.

“Ramai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta terutamanya, hanya dapat meluangkan masa selama satu hari sahaja dengan anak-anak mereka pada cuti hari minggu disebabkan perbezaaan hari cuti sejak 2014.

“Penyelarasan perlu dibuat agar ibu bapa boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta,” katanya.

Pada 14 Jun lepas, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu dan menjelaskan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan setelah pihaknya mempunyai kaedah tuntas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image