IPOH: Kerajaan Negeri Perak menyasarkan 25 peratus pekerja sektor swasta menubuhkan kesatuan sekerja bagi lima tahun akan datang, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan.

Sivanesan berkata sasaran itu diambil kerana ia merupakan hak setiap pekerja untuk bekerja dalam persekitaran kerja yang selamat dan sihat, sekali gus selaras dengan konvensyen antarabangsa bagi melindungi hak pekerja.

Beliau berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bersetuju untuk membantu pekerja di negeri ini menubuhkan kesatuan dan sekiranya terdapat majikan yang mencabar mereka di mahkamah, kerajaan negeri akan beri bantuan guaman untuk pekerja berkenaan.

“Saya harap majikan di negeri ini membenarkan pekerja untuk menubuhkan kesatuan selain mahukan kerjasama daripada pekerja swasta untuk tampil ke hadapan dengan berani. Pejabat saya akan sediakan segala sumber,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2023 peringkat negeri di sini hari ini.

Menurut Sivanesan sehingga kini terdapat 91 peratus atau 14.6 juta pekerja dalam negara yang tidak menyertai atau tiada kesatuan di tempat kerja, manakala Perak merekodkan kira-kira 10 peratus.

Sivanesan berkata bukan mudah untuk menubuhkan kesatuan sekerja kerana memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 51 peratus pekerja tempatan di tempat kerja, selain boleh menjadi semakin rumit sekiranya jumlah pekerja asing yang tidak boleh menjadi ahli adalah lebih ramai daripada pekerja tempatan.

Sementara itu dalam isu berasingan, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak Dr Rabaayah Daud berkata kemalangan maut melibatkan seorang pemandu jengkaut dipercayai dihempap bongkah batu seberat 10 tan di sebuah kawasan kuari dekat Simpang Pulai, Sabtu lalu masih dalam siasatan bagi mendapatkan maklumat jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang sebelum tindakan diambil.

Pada 27 Mei, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kejadian berlaku antara 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai ketika mangsa seorang lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik, Perak sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan batu di kawasan kuari. - Bernama