KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), mencatatkan jumlah sejuta penumpang sehari pada 21 Mac lepas (Selasa), jumlah tertinggi sejak negara memasuki fasa endemik.

Prasarana dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu merupakan lonjakan daripada purata 846,000 penumpang sehari dari 1 Jan hingga 15 Mac, dengan perkhidmatan rel mencatatkan seramai 767,000 penumpang, manakala perkhidmatan bas mencatatkan 235,000 penumpang.

“Angka sejuta penumpang sehari tersebut termasuk purata 100,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya, sejak ia dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mac lepas.

“Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan dan akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan, dipelihara untuk manfaat orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebelum Covid-19 mula melanda negara pada awal 2020, kira-kira 1.2 juta orang menggunakan perkhidmatan Prasarana sehari.

Ketika ini penumpang menikmati tambang percuma bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya, termasuk bas perantara bagi MRT Laluan Putrajaya dari Damansara ke Putrajaya Sentral sehingga 31 Mac depan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui saluran media sosial Rapid KL ataupun melalui aplikasi PULSE yang boleh dimuat turun secara percuma. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image