Perlis putus fatwa wang zakat juga boleh diberi kepada bukan Muslim

01 Nov 2019 / 12:59 H.

KANGAR: Negeri Perlis meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf ´muallafah qulubuhum` iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) berkata golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh Ulil Amri atau pemerintah.

“Ini seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW kepada golongan yang bukan Muslim dari kalangan musyrikin dan pembesar-pembesar kaum seperti tercatat di dalam riwayat-riwayat sirah yang sahih,” tegasnya.

Beliau menyatakan demikian semasa memberi ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam tadi sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peranan pusat zakat di negara ini.

Ketika menjadi tamu program Akademi Zakat (Azka) di Shah Alam pada Rabu, Anwar menggesa pusat zakat di negara ini membuat transformasi untuk mengatasi masalah kesempitan hidup umat Islam selain membantu bukan Islam.

Menurut Asri, Perlis telah membuat transformasi sejak lebih dua tahun lepas apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengadakan mesyuarat kali ke 26/2017 pada 3 Feb, 2017 memutuskan wang zakat boleh diberi kepada asnaf bukan Muslim selain daripada asnaf muslim.

“Ini bermakna Perlis mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW bukan sahaja untuk membantu tetapi juga berharap mereka yang menerimanya terbuka hati untuk memeluk agama Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam tidak mempersoalkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang kononnya bimbang wang zakat akan cepat habis jika diberi juga kepada bukan Muslim. — Bernama

email blast