KEPALA BATAS: Sebarang program mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri ini perlu merujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Yang Dipertua MAINPP Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (gambar) yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata ia bagi memastikan penganjur mematuhi semua garis panduan termasuk perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan pada program itu.

“Kita nak penganjur yang nak anjurkan tu pun mestilah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan perpaduan atau kerja-kerja sosial, kalau bukan... memang tidak digalakkan untuk anjur program sedemikian.

“Sebab itu kita minta mana-mana pihak nak anjurkan program sedemikian agar rujuk MAINPP dulu kerana ia perlu dijalankan dalam keadaan terkawal, saya juga pasti perkara ini telah ada permohonan dan panduan yang telah diberikan oleh pejabat mufti sebelum ini.. ia boleh dirujuk semula,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya’ Ramadan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Pulau Pinang akan mengikut langkah Selangor yang melarang sama sekali penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain di negeri tersebut.

Ahmad Zakiyuddin berkata Pulau Pinang tetap mematuhi undang-undang dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam berhubung hal-ehwal agama Islam di negeri itu, termasuk melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.

Baru-baru ini, sebuah portal media tempatan melaporkan sebuah NGO, Impact Malaysia, menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ yang mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertai program itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image