KOTA KINABALU: Perolehan tiga Helikopter AW139 bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Armada Timur di sini mampu meningkatkan lagi keupayaan operasi agensi itu dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara khususnya Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata helikopter terbabit membolehkan rondaan penguatkuasaan dilaksanakan bersama aset sedia ada bagi mengukuhkan pengawasan ruang udara di perairan Sabah dan Sarawak seterusnya meningkatkan lagi kekuatan inventori TLDM di Armada Timur.

Beliau berkata dua daripada tiga helikopter itu telah diterima dan diserahkan hari ini manakala sebuah lagi dijangka tiba pada September depan.

“Pembelian Helikopter AW139 dibuat berpandukan kehendak pengguna akhir iaitu TLDM yang amat memerlukan Helikopter Operasi Maritim (HOM). Keberadaan aset baharu ini juga adalah usaha yang mampu mengekalkan moral serta semangat anggota untuk melaksanakan penugasan operasi yang sentiasa mencabar.

“(Aset) ini dibekalkan lebih awal daripada apa dijadualkan dan berjalan lancar dengan adanya kerjasama daripada agensi dan pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan Skuadron 503 serta penyerahan operasi HOM di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Hishammuddin berkata Skuadron 503 ditubuh bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian HOM selain berperanan melaksanakan beberapa lagi tugasan utama antaranya pemantauan zon maritim Malaysia, operasi pasukan khas serta latihan kru udara dan warga kapal.

Beliau berkata skuadron baharu itu juga akan melaksanakan tugasan sekunder merangkumi operasi mencari dan menyelamat, membantu misi Medical Evacuation, Casualties Evacuation serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief .

Sebagai permulaan, seramai 25 pegawai dan 92 anggota akan mengoperasikan skuadron baharu itu di empat bahagian iaitu Keselamatan Penerbangan; Operasi dan Latihan; Pentadbiran dan Logistik serta Kejuruteraan Udara.

“Skuadron 503 akan berada di bawah perintah operasi SUKK. Ini penting bagi meningkatkan lagi kecekapan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan khususnya di Armada Timur,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata Kementerian Pertahanan telah memohon untuk melaksanakan perolehan kumpulan kedua Kapal Misi Persisir (LMS) selain komited meneruskan perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) memandangkan aset itu amat diperlukan oleh TLDM.

“Kabinet telah bersetuju agar projek perolehan LCS diteruskan. Sekarang ia telah memasuki proses mobilisasi selama enam bulan seperti disarankan oleh Kabinet. Rundingan dengan pihak OEM dan vendor sedang giat dilaksanakan untuk memastikan projek ini kembali ke landasannya.

“Sebaik sahaja proses mobilisasi selesai, pembinaan fizikal kapal LCS ini akan bersambung semula dalam masa terdekat,” katanya.

Hishammuddin juga berkata usaha memelihara keselamatan Sabah akan terus dilipat ganda menerusi beberapa inisiatif baharu termasuk membina kem baharu bagi tentera darat iaitu Kem Lahad Datu yang dimulakan pada tahun ini selain Kem Paradise di Kota Belud.

Katanya pembinaan Pos Luis dan Pos Tibow juga telah siap pada Mei lepas menjadikan jumlah keseluruhan Pos Imbangan di Sabah ialah sembilan manakala tiga lagi bakal dibina iaitu satu di Tawau dan dua di Kalabakan.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja mengecat semula kuarters tentera di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan mengarahkan agar projek tersebut dimulakan segera. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image