PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata satu pertemuan antara kementeriannya dengan Kementerian Kewangan (MOF), akan diadakan minggu hadapan bagi membincangkan isu rangkaian 5G dan Digital Nasional Bhd (DNB).

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan satu pertemuan antara Kementerian Komunikasi dan Digital dan MOF untuk meneliti, menilai dan memberi cadangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil, melibatkan bukan sahaja DNB tetapi pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.

“Perdana Menteri nyatakan dalam mesyuarat tadi bahawa MOF dan Kementerian Komunikasi dan Digital perlu adakan penilaian teknikal, dan meneliti beberapa aspek untuk memastikan bahawa aspek rollout rangkaian 5G ini tidak terganggu, tapi kalau boleh dipercepatkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata walaupun tahap pelaksanaan 5G di banyak negara telah pun selesai malah ada yang mula bercakap tentang 6G, tetapi pada masa sama kerajaan perlu menilai beberapa isu berkait dengan syarikat DNB.

Ditanya tempoh yang diperlukan untuk proses penilaian, Fahmi berkata proses tersebut dijangka mengambil masa beberapa minggu, untuk memastikan dan memutuskan hala tuju 5G selepas pertemuan pertama diadakan dan akan diikuti dengan sesi taklimat kepada Perdana Menteri sebelum dibawa ke Kabinet.

Mengenai model rangkaian borong tunggal (SWN) yang dicadangkan DNB, beliau berkata beberapa negara di dunia telah melaksanakan ‘rollout’ rangkaian 5G mereka menerusi SWN, tetapi keputusan tersebut telah dibuat oleh kerajaan terdahulu,

“...tetapi sama ada pada peringkat ini apakah pilihan yang masih ada, perkara inilah yang perlu kita akses.

“Sudah tentu kami amat risau mengenai kelewatan dalam ‘rollout’ (5G) dan pada masa yang sama kami bimbangkan mengenai kos. Terdapat kebimbangan lain yang berkaitan perkara itu tetapi ia pramatang untuk saya bercakap lebih lanjut mengenainya. Kami telah memulakan prosesnya hari ini dan kami akan meneliti perkara ini dengan cepat dan serius bukan sahaja dari sudut teknikal, tetapi juga dari segi undang-undang bagi memastikan perkhidmatan 5G yang ditunggu-tunggu orang ramai dan ia akan memberikan manfaat kepada mereka tidak lama lagi,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata DNB meneruskan kerja-kerja pembangunan infrastruktur 5G dan sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 2,715 tapak 5G telah disiapkan merangkumi 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Ketika ditanya sama ada DNB akan diletakkan di bawah kementeriannya, Ahmad Fahmi berkata Kabinet akan memutuskan perkara itu.

Beliau berkata arahan ketika ini ialah untuk mengakses situasi bagi meneliti isu kontraktual, teknikal dan perkara yang berkaitan dengan keputusan baru-baru ini, mengenai pengabungan contohnya Celcom dan DiGi, sama ada ia berkaitan dengan pengagihan spektrum atau ekuiti untuk DNB.

“Ada banyak perkara yang perlu dilihat, ia bukan suatu yang mudah untuk kami dapatkan. Berikan sedikit masa untuk kami, saya percaya pada masa sama minggu hadapan kita akan lebih jelas mengenai policy horizon membabitkan DNB dan 5G,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image