Peter Anthony didapati bersalah palsukan dokumen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mendapati bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony bersalah atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azura berkata selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat untuk menipu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. - Bernama